بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Apabila ditanya tentang peperangan dalam Islam, atau soalan-soalan yang berkaitan dengan keganasan yang sering dikaitkan dengan Islam, kita harus bertenang dan jangan menjawab mengikut nafsu kemarahan atau bertindak terburu-buru. Berbincang secara adil dan penjelasan tidak perlu ditokok tambah atau dihiasi dengan kata² indah untuk menafikan peperangan² yang berlaku dalam sejarah Islam.
Untuk tidak mendustakan kebenaran, kita harus rujuk kembali kepada kitab² dan sumber² yang tepat, malah yang boleh dipercayai.
Al-Maghazi merupakan kitab bab peperangan yang terdapat di dalam Sahih Al-Bukhari. Kita boleh lihat beberapa kali terjadinya peperangan yang dilancarkan oleh Nabi Muhammad ﷺ.
Dalam hadith nombor 3949 dalam Bab Al-Maghazi, Imam Al-Bukhari berkata, “Abdullah bin Muhammad telah bercerita kepada kami, Rahb bercerita kepada kami, Syu’bah bercerita kepada kami, dari Abu Ishaq, ‘saat aku berada di samping Zaid bin Arqam dia ditanya, “Berapa kalikah Rasulullah ﷺ melancarkan peperangan?”
Zaid menjawab, “Sembilan belas kali”.
Zaid kemudian ditanya lagi, “Kalau kamu sendiri, berapa kali ikut berperang?”
Dia menjawab, “Tujuh belas kali”.
Orang itu bertanya lagi, “Peperangan apa yang pertama kali”
Zaid menjawab, “Al-Asyir atau Al-Asir”
Maka aku menyebutnya kepada Qatadah, lalu Qatadah menyebut, “Al-Asyir”.
Sebagai permulaan, kita sebagai orang yang mampu berfikir, tentunya akan tertanya-tanya adakah hanya dengan bilangan peperangan yang sedikit sebegitu dapat memaksa orang ramai menganut agama Islam yang kini sudah mencecah lebih 2 billion umat Islam merata dunia?
Adakah benar Islam mengajar umatnya untuk berperang agar orang mengikuti agama Islam? Kita lihat apakah yang terakam dalam kitab suci agama Islam, iaitu Al-Quran:
سُوۡرَةُ النّحل
أَعُوْذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيم
ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦۖ
وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ (١٢٥)
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
Surah An-Nahl, ayat ke 125.
Tentunya, peperangan itu terjadi apabila hanya terdesak dan tiada jalan lain setelah perundingan atau persetujuan secara damai. Walau bagaimana pun, Nabi Muhammad ﷺ tidak akan bertindak menurut kemahuannya sendiri ataupun melakukan sesuatu mengikuti hawa nafsunya. Peperangan yang diperintahkan Allah ﷻ menjadi satu kewajipan untuk dilaksanakan dan bukan untuk mensia-sianya nyawa dalam pertumpahan darah dan bertaruh jiwa raga.
Kita lihat bagaimana musuh² Islam mencari-cari ayat² Al-Quran untuk menampakan Islam sebagai penganas:
سُوۡرَةُ النِّسَاء
أَعُوْذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيم
وَإِنَّ مِنكُمۡ لَمَن لَّيُبَطِّئَنَّ فَإِنۡ أَصَـٰبَتۡكُم مُّصِيبَةٌ۬ قَالَ قَدۡ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَىَّ إِذۡ لَمۡ أَكُن مَّعَهُمۡ شَہِيدً۬ا (٧٢)
“Dan sesungguhnya ada di antara kamu: orang-orang yang sengaja memberat-beratkan dirinya (juga orang lain, daripada turut mara ke medan perang). Kemudian kalau kamu ditimpa kemalangan (tercedera atau terbunuh) ia berkata: “Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat kepadaku, kerana aku tidak turut berperang bersama-sama mereka”.
Surah An-Nisaa ayat ke 72.
atau dalam surah yang lain, yang pada zahirnya kelihatan seperti Islam itu ganas:
سُوۡرَةُ التّوبَة
أَعُوْذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيم
فَإِذَا ٱنسَلَخَ ٱلۡأَشۡہُرُ ٱلۡحُرُمُ فَٱقۡتُلُواْ ٱلۡمُشۡرِكِينَ حَيۡثُ وَجَدتُّمُوهُمۡ وَخُذُوهُمۡ وَٱحۡصُرُوهُمۡ
وَٱقۡعُدُواْ لَهُمۡ ڪُلَّ مَرۡصَدٍ۬ۚ فَإِن تَابُواْ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّڪَوٰةَ فَخَلُّواْ سَبِيلَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (٥)
Kemudian apabila habislah (masa) bulan-bulan yang dihormati itu maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemuinya, dan tawanlah mereka, dan juga kepunglah mereka, serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat mengintipnya. Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Surah at-Taubah ayat ke 4.
Malah, ada beberapa lagi ayat² suci al-Quran yang dipetik untuk mempamerkan Islam sebagai agama yang ganas dan “berjihad untuk memaksa orang menganut Islam”.
Pembenci² Islam mungkin tidak mahu memahami tentang asbab nuzul al-Quran atau bila ayat² al-Quran itu diturunkan dan kenapa ayat² itu diturunkan.
Sebagai contoh, ayat ke 4 dalam surah at-Taubah sebenarnya ada permulaan dan sambungannya. Diriwayatkan dalam hadith riwayat Ahmad, Abu Dawud dan Nasa’i. Dikisahkan bahawa ayat 1 hingga ayat ke 10 surah at-Taubah itu, diturunkan kepada Rasulullah ﷺ setelah Nabi Muhammad ﷺ pulang dari perang Tabuk tahun 9H. Ketika itu, Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم hendak menunaikan ibadah haji, tetapi rupanya kaum musyrikin sedang melaksanakan peribadatan mereka di baitullah. Padahal, sebelumnya telah disepakati perjanjian bahawa saat itu kaum musyrikin tidak diperkenankan beribadah di Ka’bah. Dalam erti kata, Musyrikin Quraish telah melanggar perjanjian mereka.
Namun, musuh² Islam dan pembenci² agama Allah ﷻ yang suka mencari kesalahan Muslim ini, gagal untuk melihat peperangan² dalam Islam telah banyak mengajar dan mencorak cara² askar² sedunia dalam cara² mereka berperang. Pengaruh² dalam cara² peperangan dalam Islam kemudiannya dijadikan undang² dalam peperangan yang disebut sebagai Geneva Convention. Geneva Convention ini hanya wujud sejak tahun 1864 masihi hingga 1977 masihi. Peperangan² kini mempunyai had dan tertakluk dibawah International Humanitarian Law, atau Perundangan Keperimanusian Sedunia. United Nations atau Bangsa² Bersatu menetapkan undang² sebegini untuk memastikan agar terkawalnya perwatakan para askar dalam peperangan bersenjata, sama ada pertempuran antara dunia ataupun peperangan persaudaraan. Perundangan ini diwujudkan untuk mengurangkan penderitaan mangsa² dan melindungi mereka yang tidak terlibat atau telah berhenti memerangi musuh dalam peperangan itu.
Walaupun tidak semua hukum hakam dalam peperangan yang terakam dalam adab² peperangan menurut Islam yang diambil pakai, undang² peperangan dalam agama Islam tentunya adalah lebih teliti dan lebih ihsan. Antara perkara² yang diamalkan Islam yang telah dipertimbangkan oleh perundangan peperangan sedunia itu adalah, 1. Perlindungan orang awam dan mereka yang bukan askar, 2. Penggunaan senjata dalam peperangan, 3. Larangan penggunaan manusia sebagai perisai dan serangan malam, 4. Perlindungan harta benda, 5. Larangan penggalan tubuh badan musuh, 6. Layanan terhadap tahanan, 7. Keamanan dan keihsanan dan 8. Pengurusan mayat² dalam peperangan.
Peperangan² telah wujud jauh sebelumnya penurunan al-Quran. Peperangan² terjadi selalunya disebabkan politik dan rebutan kuasa antara negara, badan² ataupun kumpulan² tertentu yang rata² tidak ada kaitan dengan agama. Namun, wujudnya peperangan dalam Islam, merupakan sesuatu keperluan pada masa yang telah berlalu dan perintah² berperang tidak lagi dapat kita terima seperti mana Nabi Muhammad ﷺ menerima wahyu daripada Allah ﷻ melalui Jibril عليه السلام.
Memang pada zahirnya kelihatan Islam telah menggunakan pedang dan berperang tetapi bukan untuk menyebarkan Islam atau memaksa orang agar mengikuti agama Islam seperti sesetengah dakwaan yang mengatakan tentang pemerintahan tertentu dalam sejarah tertentu, yang berlaku bukan pada zaman Nabi Muhammad ﷺ. Namun jelas hari ini, orang memilih untuk memeluk agama Islam kerana kebenaran fakta dan kajian sains atau para pengkaji telah dapat membuktikan kebenaran ayat² al-Quran, dari masa ke semasa.
Orang ramai semakin bijak dan dapat menilai sendiri sama ada al-Quran ini adalah tipu helah manusia atau memang benar al-Quran itu adalah kalam Allah ﷻ. Walaupun musuh² Islam bertopengkan wajah Muslim untuk mencemarkan imej Islam, kita lihat golongan yang terpencil seperti ISIS ini, gagal untuk menghentikan penyebaran Islam yang sebenar dan kebencian terhadap agama suci Allah ﷻ semakin terpencil. Malah sebaliknya yang terjadi. Orang ramai mula mengkaji dan mendapati bahawa penipuan berlaku terhadap Islam itu terbongkar. Akhirnya, jumlah orang mengikuti agama Islam bertambah ramai disebabkan mereka telah terjumpa kebenaran yang semakin bersinar.
Musuh² Islam mencari-cari kesalahan agama murni ini dengan menuduh “Islam tersebar melalui pedang dan peperangan”. Namun, akhirnya musuh² Islam akan tewas bukan dengan pedang, tetapi dengan kebenaran agama Allah ﷻ dan kesabaran para muslimin.
سورة العصر
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
وَٱلۡعَصۡرِ (١)
إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢)
إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ (٣)
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
1. Demi Masa!
2. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,
3. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Surah al-‘Asr ayat 1-3
والله أعلمُ بالـصـواب