Kenapa agaknya orang Islam sangat yakin bahawa Islamlah sebenar-benar kebenaran? Adakah kita melihat orang agama lain turut memperjuangkan agama mereka seperti orang² Islam? Adakah agama lain turut mengajak agama Islam untuk berbahas seperti mana orang² Islam suka menerima soalan² yang di luar fikiran orang² agama lain?
Orang Islam meyakini agama Islam ini kerana segala soalan yang diajukan sering dapat dijawab dengan secara akademik dan ilmiah. Al-Quran itu sendiri menjadi kitab rujukan yang dipelajari oleh bukan sahaja orang² bukan Islam, malah orang² yang memusuhi Islam. Dalam pencarian kesalahan² al-Quran, mereka akhirnya mengaku bahawa kitab ini adalah sebenar-benar kebenaran yang dapat dibuktikan dengan sains.
Orang² yang jujur ingin mencari kebenaran tentunya akan bertemu dengan kebenaran. Orang² yang bijak pandai, akan berfikir dan mengkaji kenapakah Al-Quran ini bukan biasa² dan mereka akan merumuskan al-Quran bukan penulisan manusia. Namun, sayangnya, kita yang bergelar orang Islam, tidak mencintai al-Quran seperti mana kita seharusnya mencintainya.
Kelebihan al-Quran itu dapat dirasakan jika kita rajin membaca, mempelajarinya dan menghayati apakah firman² Allah ﷻ itu boleh dikaitkan dengan kehidupan kita. Pengajaran, perintah, kisah² dan peringatan² daripada Pencipta kepada hamba²Nya, harus dijadikan pedoman dan tidak dibiarkan tanpa menyedari betapa pentingnya Al-Quran kepada manusia. Panduan kehidupan kita yang utama.
Orang Islam mencintai Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ kerana keyakinan yang mendalam tentang kebenaran demi kebenaran yang terbukti dari masa ke semasa. Namun, kita harus sedar, untuk mencari kebenaran, banyak usaha dan pengorbanan yang harus kita lalui agar kita dapat menikmati iman yang kukuh dan merasai kemanisan iman orang² soleh.
Lihatlah perbezaan orang² yang benar² mencintai Allah ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ dengan mereka yang tidak. Orang² yang soleh dan bertaqwa, akan sentiasa mencari jalan, masa dan berusaha untuk mengerjakan bukan sahaja yang wajib, malah, amal soleh yang sunnah juga. Orang yang malas berusaha untuk mengerjakan perintah² yang wajib, pastinya mengutamakan nafsu mereka berbanding mencari keredhaan Allah ﷻ.
Bezakanlah diri kita dengan mereka yang tidak mengenali Islam. Jadilah umat Islam yang sejati. Laksanakan perintah² Allah ﷻ dan tinggalkan larangan²Nya. Berusahalah mengerjakan amal soleh tambahan secara sukarela tanpa rasa terpaksa atau satu bebanan. Cintai Allah ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ, tentunya Allah ﷻ akan turut mencintai kita. Pasti, kasih sayang Allah ﷻ tidak dapat kita tandingi. Janganlah berkelakuan serupa seperti orang² yang tidak beriman dengan mengabaikan perintah²Nya dan sengaja melanggar larangan²Nya.