Pernah atau tidak, kita terfikir untuk meninggalkan negara kita untuk tinggal ke tempat yang lebih Islami? Tentunya ada di antara kita yang terbayang tinggal di Mekah atau Madinah, atau tinggal di negeri² yang kita tidak susah mencari makanan halal, suasana ramai orang Islam atau kedengaran azan di mana sahaja berada. Memang seronok memikirkan tentang kurangnya maksiat di tempat lain berbanding di negeri sendiri.
Walau bagaimana pun, globalisasi telah berlaku dan negeri yang kita sangkakan sangat patuh kepada agama Islam pun kelihatan semakin menerima kehidupan sekular ataupun kemodenan dengan sedikit sebanyak menerima cara dan budaya bukan Islam di negeri mereka. Kita tidak boleh menahan perkembangan dan kemajuan di merata dunia yang turut membawa budaya dan kehidupan yang mengubah cara² orang mengamalkan Islam.
Kita berpegang teguhlah kepada landasan agama yang sebenar dengan mempelajari Islam yang tulen. Dengan ilmu yang jitu, kita akan dapat mengamalkan dalam keadaan apa sekalipun. Kita boleh sentiasa dapat membezakan sama ada keadaan kita benar² darurat yang memaksa kita meninggalkan perintah Allah ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ ataupun sebenarnya kita terpengaruh dengan cara orang² liberal yang membolehkan yang haram dan menjadikan amalan² baru semakin seronok.
Selain terpanggil untuk memajukan kehidupan dunia, seharusnya juga kita memantapkan lagi amal soleh kita. Fahaman agama kita seharusnya bertambah baik dan semakin kuat kepercayaan kita tentang kitab² kita iaitu Al-Quran & Hadith² yang terakam zaman berzaman. Sirah² Nabi Muhammad ﷺ juga seharusnya lebih kita pelajari agar kita dapat menambah fahaman keagamaan kita dengan harapan, kita dapat menyandarkan cara kehidupan kita hari ini dengan sunnah² Nabi Muhammad ﷺ. Dengan mempelajari sejarah² Islam juga, kita dapat lihat bagaimana para sahabat رضي الله عنهم, para tabii tabi’in mengamalkan dan memperjuangkan Islam sambil meneruskan kehidupan dalam kemajuan zaman berzaman.
Seandainya hari ini, di negeri kita, kita tidak dibenarkan untuk mengamalkan Islam walaupun di rumah sendiri, maka, memanglah sesuai sekali kita meninggalkan negeri itu. Namun, pastikan kita dengan sendirinya telah berusaha sebaik mungkin untuk menjadi Muslim yang sejati, mengamalkan perintah² Allah ﷻ sebaik mungkin dengan keadaan yang terhad sekalipun. Adakalanya kita ingin berpindah atau berhijrah kerana keduniaan dan bukan kerana Islam.
Tanyalah diri kita dengan sejujur²nya adakah niat kita berhijrah kerana Allah ﷻ. Apabila benar kita berhijrah kerana Allah ﷻ, maka besar pahalanya. Allah ﷻ akan memberikan kita ketenangan hati, lapangan rezeki dan Allah ﷻ menjanjikan syurga. Namun, jika kita berhijrah ke negeri lain kerana kita ingin hidup bagaikan orang barat, atau ada rumah yang lebih besar tetapi murah, kereta² yang lebih berjenama tetapi dimampui, atau sekadar ingin meninggalkan kaum keluarga yang kita ingin menjauhi, maka, itu semua adalah berniatkan kebahagian peribadi dan untuk dunia semata-mata.
Syukurlah, kita masih boleh mengambil wudhu dan mendirikan solat. Kita seharusnya menjadikan rumah kita “negeri” Islam. Laungkanlah azan. Bacalah al-Quran dan jadikanlah suasana rumah kita bagaikan masjid. Bebaskan rumah kita daripada maksiat dan pastikan tiada makanan dan minuman yang haram. Buanglah segala tangkal², wafak² kurafat dan benda² atau kepercayaan yang syirik daripada rumah kita. Buktikan kepada Allah ﷻ bahawa kita inginkan Islam seperti mana diamalkan Nabi Muhammad ﷺ, para sahabat رضي الله عنهم dan tabii tabi’in mengamalkan agama suci ini, agama Allah ﷻ, iaitu Islam.
والله أعلمُ بالـصـواب